Saturday, April 25, 2009

KARANGAN : MAAFKAN AKU, IBU

TOPIK: MAAFKAN AKU, IBU
NAMA PELAJAR : NADHIRAH MOFE

Air mata suci yang berguguran dari kelopak mata ibu membuat hatiku pecah seribu. Aku tidak tergamak meninggalkan ibu keseorangan. Aku kehilangan seorang ayah semenjak di bangku sekolah. Aku dan ibu terpaksa berdikari sampai sekarang. Namun, aku akan bekerja di bandar kerana dipanggil untuk mewakili sebuah syarikat.

Oleh kerana aku akan mendapat gaji yang lumayan, aku tidak teragu-ragu untuk mengambil peluang ini demi kebaikan aku dan ibu. Dakapan ibu amat erat. Ibu menangis tersedu-sedu sambil memelukku. Aku melepaskan dakapan ibu dengan perlahan kerana tidak mahu lewat untuk perjalanan ke destinasiku.
“Adam, janji pada mak yang Adam akan pulang ya. Mak akan tunggu,” suara ibu sayu lagi pasrah.

“Ya mak, Adam janji. Jangan risau ya mak,” kataku dan cuba menenangkan hati ibu. Ibu mengangguk kepalanya sambil mengusap rambutku. Aku mencium dahi dan pipi ibu buat kali terakhir sebelum aku berangkat.

Aku melangkah keluar rumah sambil mengangkat begku.

“Mak akan tunggu, Adam. Mak tunggu,” pesan ibu. Nada suaranya bagaikan sembilu menghiris tangkai hatinya. Aku memeluk ibu dan memberi salam lalu menghala ke teksi yang sedang menanti. Aku menaiki teksi dan memandang ibu yang sedih berbaur kekecewaan. Aku melambai tangan kepada ibu apabila teksi mula bergerak. Itulah kali terakhir aku dapat menatap wajahnya. Aku akan sentiasa berdoa agar ibu baik-baik selalu.

Setelah aku tiba di bandaraya, aku dapat merasakan aku pasti beroleh kejayaan. Aku akan lakukan demi ibu. Aku menuju ke Taman Perling yang mempunyai tanda “Iz & Company” tertera dengan besar. Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke pejabat, Encik Ramli berjabat tangan denganku. Aku mengulum senyuman tipis dan mula berkenalan dengan semua pekerja yang terdapat di situ.

Aku berjabat tangan dengan seorang wanita yang bernama Rita. Sentuhan kulitnya terasa. Mataku terus menjilat tubuhnya. Aku rasa seperti aku telah mengenalinya walaupun inilah kali pertama aku menjamah mesra wajahnya. Aku terpegun dengan kecantikan wanita ini.

“Selamat datang Adam,” suaranya yang manis memecah khayalanku. Aku hanya mampu mengangguk kepala kerana sudah tertarik dengannya.

Tidak lama kemudian, aku dan pekerja lain dipanggil masuk ke bilik mesyuarat unutk membincangkan tentang projek yang akan diberikan. Aku dilantik sebagai ketua projek demi menunjuk kemahiranku dalam bidang bisnes. Beberapa bulan kemudian, semuanya berjalan dengan lancar. Alhamdulilah! Ibu masih sihat wal’afiat ketika aku menghubunginya. Rindu menebal di hati. Tidakku sangka aku akan jauh dari ibu selama satu tahun lebih. Namun, aku harus berani meneruskan hidup.
Semasa bekerja, mataku tidak lepas melihat raut muka Rita yang anggun. Aku bertekad untuk mengenalinya dengan lebih dalam. Aku memungut ranting-ranting keberanian lalu menuju ke meja Rita. Rita mendongak untuk melihat kehadiranku dan mengukir senyuman di bibirnya.

“Apa kata… saya belanja awak makan petang nanti?” kataku dengan penuh kepastian.

“Baiklah,” jawab Rita.

Bebola matanya yang coklat ceria itu merenung wajahku. Aku pulang ke mejaku dengan perasaan gembira meruap-ruap di dada.

Masa berlalu dengan pantas. Kini, sudah masuk hampir sepuluh bulan aku berada di kawasan Taman Perling. Perhubungan aku da Rita semakin intim sejak empat bulan yang lalu. Rupa-rupanya, bapa Rita yang memiliki syarikat tersebut. Setiap kali dia cuba bertanya aku tentang ibubapaku, aku selalu cuba mengelak. Aku berasa malu untuk memberitahunya bahawa aku berasal dari kampung kerana kedudukan Rita jauh lebih tinggi daripada aku.

Aku sudah selesa dengan Rita dan ingin Rita menjadi milikku. Oleh kerana kami dilamun cinta, dia setuju. Pada suatu hari, Rita ingin memperkenalkan aku dengan ibubapanya tetapi aku belum sedia untuk berdepan dengan mereka. Demi cinta dan kekasihku yang manja ini, aku terpaksa bersetuju. Rumah Rita sepuluh kali lebih cantik berbanding dengan kampungku. Sebenarnya, Rita adalah seorang anak yang manja kerana mempunyai hidup yang mewah.

“Bagaimana keadaan ibubapamu, Adam,” tanya bapa Rita.

Aku tergamam buat seketika.

“Hmm… bapa saya sudah lama meninggal dunia sementara ibu saya berada di Jakarta,” balasku. Aku terpaksa berbohong kerana aku cuba menghindarkan keluargaku dari dipandang rendah oleh orang luar.

“Dimanakah asalmu?” soal bapanya sekali lagi. Aku membiarkan sejenak fikiranku menerawang.

“Saya berasal dari bandar, Cik. Sama juga seperti Rita,” jawabku.

Setelah pertemuanku dengan ibubapa Rita, aku berasa amat lega. Sudah hampir setahun aku berada di Taman Perling dan aku harus pulang ke pangkuan ibu tersayang. Sebelum itu, aku mempunyai hajat yang terakhir. Aku mahu memperisterikan Rita. Selepas perkahwinan kami, aku membawanya pulang ke rumah.

“Abang, apa ini? Ini kampung siapa?” tanya Rita. Mulutku terkunci.

Aku berhentikan kereta milik Rita itu dan membawanya keluar. Aku memberi salam dan ibu tergesa-gesa untuk melihat siapa yang tercegat di luar pintu.

“Adam!!” Ibu mendakap dan memberi seribu ciuman.

“Siapa ini? Rumah apa ini?” tanya Rita sekali lagi.

“Ini semua kepunyaan abang, Rita,” jawabku.

“Jadi, abang nak Rita tinggal di kampung yang buruk ini? Ini siapa pula?” suara Rita semakin tinggi.

“Rita, jaga mulut Rita. Ini ibu abang, Rita,” kataku dengan penuh sabar.

“Abang kata ibu abang berada di Jakarta! Apa ini abang? Geli Rita nak jejak rumah ini Abang tahukan Rita ini berkedudukan tinggi. Abang fikir Rita boleh hidup begini?” tengking Rita.

Aku melihat ibu dengan rasa bersalah.

“Perempuan yang biadap ini kau bawa pulang, Adam?” suara ibu lantang.

“Isteri… saya… menantu ibu,” jawabku.

Air mata ibu berlinangan dengan hampa.

“Sampai hati kau, Adam! Kau tidak beritahu aku pun!” ibu berkata dengan kesedihan.

Aku cuba memujuk ibu namun ibu menolak aku.

“Adam boleh jelaskan!” aku cuba memujuk ibu.

“Tidak! Kau dan betina ini boleh keluar! Keluar kau!” teriak ibu.

Ibu menutup pintu dan enggan memberiku masuk. Aku bingung, tidak tahu apa harus aku lakukan. Aku kembali ke Taman Perling. Kedatangan aku ini meragut kebahagiaan ibu. Aku cuba menghubungi ibu namun dia masih keras hati. Dia enggan mengambil tahu tentang aku. Aku sudah jatuh ditimpa tanggan. Dua bulan kemudian, aku pulang ke kampung keseorangan.

Aku melihat rumah ibu telah dipenuhi oleh orang kampung. Tanpa berlengah-lengah, aku memasuki kampung dan ternampak sekujur mayat yang tidak berdaya. Aku menghampiri mayat itu dan alangkah terperanjatnya aku, itulah ibuku! Aku bertanya kepada jiranku tetapi tiada serong pun memberitahuku. Aku mengusap rambut ibu dan mencium dahinya. Seribu tangisan membasahi wajahku. Aku menyesal. Aku tidak sempat memulihkan hubungan aku dan ibu.

Apa yang telah aku lakukan? Aku mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan ibu. Aku tidak sempat meminta maaf kepada ibu. Itulah kesilapan yang besar pernah aku lakukan. Aku bantu mengusung mayat ibu dan hanya mampu sedekahkan surah Yasin buat ibu. Aku sentiasa berdoa agar ibu dapat memaafkan aku. Ya Tuhan, ampunilah aku dan sentiasa cucuri roh ibu dengan rahmatmu.

“Maafkan aku ibu,” detik hati kecilku penuh penyesalan.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive

About Me

Blog ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh semua pelajar yang mengambil Bahasa Melayu terutama mereka yang bakal menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Peringkat Biasa (GCE'O' level)