Saturday, April 25, 2009

KARANGAN 4: DIALOG (DATANG LEWAT)

SOALAN:
Dua orang sahabat sedang berbincang tentang sikap pelajar yang sering datang lewat. Salah seorang berpendapat bahawa ibubapa harus dipersalahkan. Sahabatnya pula berpendapat sebaliknya. Tulis sebuah dialog antara dua sahabat itu yang menunjukkan pertentangan pendapat mereka

JAWAPAN


Masa : 10 pagi dan waktu rehat
Tempat : Di kantin sekolah
Pelaku 1 : Siti
Pelaku 2 : Liza

(Dua orang sahabat sedang duduk di bangku sementara menunggu loceng rehat berakhir. Mereka membincangkan tentang sikap pelajar yang sering datang lewat ke sekolah. Salah seorang berpendapat bahawa ibubapa harus dipersalahkan tetapi sahabatnya pula berpendapat sebaliknya)


Siti: Eh, Liza! Kenapa awak termenung ?

Liza : Oh , Siti. Tidak ada apa-apa. Cuma saya kasihan melihat Zamri yang sering
dihukum oleh guru disiplin kita, Cikgu Ali kerana datang lewat. Sekurang-
kurangnya tiga kali dalam seminggu.

Siti: Padanlah dengan muka dia. Itulah balasan mereka yang malas bangun dan suka
melanggar peraturan sekolah. Bagi mereka sikap negatif itu satu yang dianggap
‘cool’ Dia yang buat tentulah dia sendiri yang tanggung. Berani buat beranilah
tanggung kerana tangan yang mencincang, bahulah yang memikul.

Liza: Tetapi, kita tidak harus menyalahkan si anak itu sahaja. Di dalam hal ini, ibu
bapanya lah yang harus dipersalahkan.

Siti: Kenapa pula begitu?

Liza : Sudah menjadi tanggungjawab si ayah atau ibu yang harus mengejutkan anak
mereka untuk ke sekolah. Mereka harus memasang jam loceng lebih awal agar
memberi masa untuk si anak untuk bersiap sedia ke sekolah.

Siti: Saya kurang setuju dengan pendapat awak, Liza. Di dalam hal ini si anak harus
lebih bersikap disiplin dan tidak harus terus-menerus bergantung kepada ibu bapa
di dalam hal seremeh ini.

Liza: Kenapa pula begitu ?

Siti: Awak sendiri tahukan bahawa ibu bapa sehari suntuk penat bekerja demi
kesejahteraan ekonomi keluarga. Si anak harus meringankan beban ibu bapa
mereka dengan tidak membebani mereka dengan masalah disiplin sekolah.

Liza: Tetapi, si anak pun dibebani dengan tugasan sekolah. Bila masa hendak ulang kaji
dan bila masa hendak habiskan kerja sekolah ? Mungkin kerana penat dengan
kerja sekolah maka si anak itu tadi tertidur lewat. Adilkah itu?

Siti: Ya, perkara itu memang tidak dapat saya nafikan. Namun, sebagai pelajar yang
bijak haruslah pandai membahagikan masa antara masa belajar dan masa tidur. Si
anak itu haruslah sedar bahawa tidur lewat itu kurang baik dan memudaratkan
diri mereka sendiri. Mereka akan berasa mengantuk dan kurang bertenaga kerana
setiap pelajar diwajibkan untuk mendapatkan tidur sekurang-kurangnya 8 jam
sehari agar otak cerdas dan tubuh cergas pada keesokan harinya.

Liza: Oleh yang demikian, saya rasa para ibu bapa harus menyediakan jadual kegiatan
harian untuk anak mereka demi memastikan si anak tahu bahawa masa itu emas.
Mereka juga harus pastikan yang si anak itu harus tidur awal iaitu selewat-
lewatnya pukul 10malam.

Siti: Ya, bukan itu sahaja. Para ibu bapa juga harus memberi contoh yang baik kepada
anak mereka dengan bangun awal dan melakukan solat subuh secara berjemaah.
Dengan demikian, si anak itu sudah terbiasa dengan rutin bangun awal dan tidak
menggeliat untuk bangun.

Liza: Ya saya bersetuju dengan pendapat awak itu kerana ada ibu bapa yang memberi
contoh yang kurang baik kepada si anak iaitu walaupun matahari sudah meninggi,
mereka masih menarik selimut. Janganlah seperti ketam yang menyuruh anaknya
berjalan lurus dan jangan lupa begitulah kuih, begitulah acuannya.

Siti: Si anak juga haruslah memainkan peranan mereka sebagai seorang pelajar yang
berdisiplin kerana dengan markah yang baik itulah yang dapat membahagiakan ibu
bapa mereka yang sudah penat lelah membesarkan kita dari dalam kandungan
sehinggalah kita dewasa sekarang ini. Berat sungguh tanggungjawab ibu bapa dan
murni sungguh pengorbanan mereka. Dengan itu, janganlah kita sebagai anak
merisaukan atau mengguris perasaan mereka dengan panggilan dari pihak sekolah
kerana melanggar peraturan sekolah seperti datang lewat.

Liza: Saya berharap kawan kita, si Zamri itu sedar akan kesilapannya dan tidak
berdendam dengan guru disiplin kita, Cikgu Ali itu. Ada pelajar bersikap
memberontak dan enggan ke sekolah kerana semata-mata dimarahi atau ditegur
kesilapan mereka. Sebagai pelajar kita harus bersikap terbuka dan menerima
bahawa setiap hukuman cikgu itu adalah demi kebaikan kita pada masa mendatang.

Siti: Di dalam hal menangani masalah disiplin adalah tanggungjawab semua iaitu baik si
anak atau si ibu ayah kerana cubit paha kiri, paha kanan terasa juga dan kalaulah
tidak ada angin mana bisa pokok bergoyang. Setiap ahli keluarga ada peranan
masing-masing. Jika semua ahli keluarga tahu tanggungjawab masing-masing maka
apa jua masalah yang timbul pasti ada jalan penyelesiannya kerana bulat air
kerana pembuluh dan bulat kata kerana muafakat.

Liza: Bukan itu sahaja, setiap ahli keluarga juga ada hak untuk menegur segala kesilapan
atau kekurangan sesiapa sahaja di dalam keluarga. Jangan kecil disangka anak dan
bukan besar disangka bapak. Si anak harus menegur si ibu atau ayah kerana di
dalam hal datang lewat ini adalah tanggungjawab bersama.

Siti: Baiklah. Eh! Loceng sekolah sudah berbunyi. Mari kita beratur.

Liza: Yalah, loceng rehat itu menandakan waktu rehat kita sudah berakhir. Asyik sangat
kita bersembang sehingga terasa masa berlalu begitu cepat sekali. Kalau kita lewat
beratur nanti kita pula dihukum oleh Cikgu disiplin kita yang garang itu. Mari
Siti.

(Kring.... Loceng berehat berbunyi menandakan waktu rehat sudah berakhir. Perbincangan dua sahabat itu terhenti di situ. Mereka pun pulang ke kelas masing-masing. Perbincangan mereka tadi membuat mereka merenung tentang isu pelajar yang selalu datang lewat. Mereka masih tidak berganjak dari pendirian masing-masing.)

No comments:

Post a Comment

Blog Archive

About Me

Blog ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh semua pelajar yang mengambil Bahasa Melayu terutama mereka yang bakal menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Peringkat Biasa (GCE'O' level)